Pages - Menu

Wednesday, 1 May 2013

Panduan Penulisan Proposal Thesis


Sesiapa yang ingin melanjutkan pelajar dalam Ijazah Tinggi atau postgraduate pasti buntu untuk menulis proposal tesis. Di sini, saya ingin kongsikan bersama panduan penulisan proposal tesis..ia hampir sama bagi universiti-universiti di Malaysia. 

Panduan Penulisan Proposal Tesis (Kajian Kuantitatif)


Penulisan Proposal Tesis atau dikenali sebagai Cadangan penyelidikan yang dimaksudkan di sini adalah bertujuan untuk dijadikan asas pertimbangan bagi pemilihan calon ijazah tinggi di univerisiti-universiti dan juga dalam proses pengesahan bidang atau skop penyelidikan dalam pengajian ijazah tinggi. Kita hendaklah mengemukakan cadangan penyelidikan / proposal penyelidikan ini dalam bentuk yang berjilid dan kemas. Cadangan penyelidikan ini hendaklah menjelaskan elemen-elemen berikut:

1. Bidang kajian: 

Menjelaskan bidang khusus bagi kajian yang akan dilaksanakan seperti bidang teknologi pendidikan, bahasa arab, syariah, pendidikan Islam dan sebagainya. 


2. Tajuk: 

Pernyataan tajuk ini hendaklah mampu menjelaskan persoalan pokok dan fokus kajian. Hakikatnya, dalam proses kita menulis tesis, tajuk yang kita tulis akan sering berubah. Tetapi, skop dan focus kajian kita perlu jelas.


3. Penulisan Bab-Bab dalam Proposal Tesis

Dalam penulisan proposal tesis, ia melibatkan tiga bab iaitu Bab 1: Pendahuluan, Bab 2 : Sorotan Kajian dan Bab 3 : Metodologi Kajian

Saya ingin kongsikan dahulu Bab 1 yang melibatkan tajuk-tajuk yang perlu dimasukkan dalam Bab 1.

Dalam Bab 1 PENDAHULUAN

Kemudian dimulakan dengan,

1.1      Pengenalan
1.2      Latar Belakang Kajian
1.3      Pernyataan Masalah
1.4      Objektif Kajian
1.5      Persoalan Kajian
1.6      Kepentingan Kajian
1.7      Skop Kajian
1.8      Kerangka Konseptual Kajian
1.9      Definisi Operasional
1.10    Kesimpulan


BAB 1 (Elemen-elemen dalam bab 1 yang perlu difahami dengan jelas) :

a. Latarbelakang masalah : 

Membincangkan situasi timbulnya masalah yang akan dikaji. Keberkesanan perbincangan ini boleh dilihat pada kemampuannya untuk menampakkan masalah berkenaan dan pentingnya untuk diteliti dan didalami. 


b. Pernyataan masalah/Permasalahan Kajian: 

Pada bahagian ini calon hendaklah menyenaraikan masalah-masalah sebenar yang akan dikaji atau juga dikenali sebagai isu-isu mendorong kita memilih tajuk kajian. la dinyatakan dalam bentuk penjelasan tentang masalah atau isu-isu yang menjadi tumpuan kajian. 


c. Objektif Kajian: 

Di sini calon hendaklah menjelaskan halatuju kajian dan perkara-perkara yang diharap akan dapat dicapai di akhir kajian nanti. Pernyataan ini hendaklah jelas, rasional, serta relevan dengan masalah yang dikaji. Objektif hendaklah mampu dicapai dan pencapaiannya itu sewajarnya boleh diukur. 


d. Persoalan Kajian

Daripada objektif kajian, kita bina soalan-soalan yang menjawap objektif kajian. Soalan kajian perlu jelas, berfokus dan selari dengan objektif kajian.


e. Hipotesis kajian (Jika Perlu): 

Hipotesis ialah pernyataan sementara tentang hubungan antara unsur-unsur yang dikaji atau tentang cara penyelesaian bagi sesuatu masalah. 


f. Kepentingan kajian: 

Kita hendaklah menjelaskan kepentingan dan sumbangan kajian yang akan dilaksanakan terhadap bidang yang dikaji seperti dapat memantapkan penjelasan tentang sesuatu hukum, memperkemaskan sesuatu kaedah, membetulkan sesuatu fahaman atau seumpamanya. Juga kepentingan dan sumbangannya dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan negara. 


g. Skop kajian / Batasan Kajian: 

Skop dimaksudkan batasan kajian yang akan dijalankan. Penjelasan ini penting bagi mempastikan penilai dapat memahami sempadan kajian berkenaan. Kita sebagai penyelidik perlu menjelaskan batasan atau limitasi dalam kajian kita seperti sampel kajian, tempoh kajian, limitasi tempat, skop metodologi kajian dan sebagainya.


h. Kerangka Konseptual Kajian

Kerangka Konseptual ini bermaksud satu bentuk kerangka konsep yang menerangkan secara ringkas bentuk kajian, hala tuju kajian, format kajian dan peringkat-peringkat atau fasa-fasa dalam kajian. Ia juga boleh diasaskan di atas mana-mana teori yang ada atau dibentuk sendiri berasaskan kajian-kajian terdahulu. Kerangka Konseptual ini akan menjadi panduan kepada kajian akan dilaksanakan. 


i. Definisi Istilah / Definisi Operasional: 

Defini Istilah ini melibatkan istilah-istilah penting dalam kajian. Ia perlu dijelaskan definisinya agar pembaca dapat memahami dengan lebih jelas kajian yang dijalankan. Dalam bahagian ini, definisi-definisi umum diberikan, seterusnya pengkaji perlu menetapkan definisi khusus dalam kajian tersebut.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...